Penglibatan dalam politik Ahmad_Badawi_Abdullah

Setelah 10 tahun berada di Tanah Suci kerana menuntut ilmu, pada 1938, beliau telah pulang ke Kepala Batas untuk memimpin Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang ditinggalkan ayahnya kerana memimpin Madrasah Idrisiah sejak 1935.

Terlibat dalam UMNO

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada 1945, sebagai guru agama di Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan imam di Masjid Jamek Kepala Batas, beliau mula terlibat dalam politik dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) sebagai Ketua Pemuda. Pada 11 Mei 1946, PMSP telah bergabung menubuhkan UMNO, sekali gus membawa Haji Ahmad Badawi ke dalam UMNO dan menjadi Ketua UMNO Seberang Perai (1946-1950). Ketika Pergerakan Pemuda UMNO diasaskan pada 1949, Haji Ahmad Badawi dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya (1949-1956), selain turut menduduki Jawatankuasa Kerja Agung UMNO (1952-1964).

Menubuhkan PAS

Sebagai pemimpin UMNO, Haji Ahmad Badawi telah menghadiri Persidangan Alim Ulamak Malaya Pertama di Muar pada 20-21 Februari 1950 dan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Ulamak Malaya. Pada persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth) pada 24 November 1951, Haji Ahmad Badawi selaku Ahli Jawatankuasa Sambutan telah mengeluarkan “Manifesto al-Badawi: Ulamak ke Jalan Allah.”

Dalam persidangan ini, nama Pertubuhan Ulamak Malaya ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Haji Ahmad Badawi terpilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sesi pertama. Sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, pada 23 Mac 1952, beliau telah mengusulkan supaya PAS menubuhkan sebuah “Dewan Pemuda Islam” untuk menggerakkan pemuda-pemuda ahli PAS. Usul ini diluluskan pada 3 April 1952 dan Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda Islam.

Selain memainkan peranan utama menubuhkan Dewan Pemuda PAS, Haji Ahmad Badawi juga bertanggungjawab membawa PAS menyokong Konvensyen Kebangsaan (National Convention) tajaan UMNO-MCA pada 26 September 1953 dan menjadikan Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah yang dimudirinya sebagai Pejabat Agung PAS (1953-1954).

Memilih kekal bersama UMNO

Memandangkan berlakunya krisis disiplin parti dalam PAS ketika ini kerana kebanyakan pimpinan PAS menganggotai lebih dari satu parti, pada 14 Ogos 1954, PAS telah menetapkan supaya pimpinannya tidak boleh menjadi ahli parti lain serentak, yang menyebabkan Haji Ahmad Badawi memilih untuk kekal bersama UMNO. Sejak itu, Haji Ahmad Badawi telah meninggalkan PAS ketika masih berjawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Dalam UMNO, Haji Ahmad Badawi memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang (1957-1959), Ketua UMNO Seberang Perai / Kepala Batas (1950-1977) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang (1975-1977). Beliau turut berperanan sebagai ADUN Kepala Batas (1959-1974), Ahli Dewan Negara (1962-1968),[2] ADUN Bertam (1974-1977), EXCO Kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam (1969-1977) dan pernah memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1975. Di samping itu, beliau turut aktif dalam kepemimpunan masjid di Kepala Batas, mentadbir Madrasah ad-Daerat al-Maarif al-Wathaniyah dan memimpin badan-badan pentadbiran beberapa sekolah di sekitar Kepala Batas.

Rujukan

WikiPedia: Ahmad_Badawi_Abdullah //scholar.google.com/scholar?q=%22Ahmad+Badawi+Abd... //www.google.com/search?&q=%22Ahmad+Badawi+Abdulla... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Ahmad... //www.google.com/search?q=%22Ahmad+Badawi+Abdullah... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Ahmad+Badaw... http://www.singapore-elections.com/malaysia-electi... http://studentsrepo.um.edu.my/385/10/APPENDIX.pdf http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2... https://id.loc.gov/authorities/names/n2007204996 https://books.google.com.my/books?id=23X5k4hjF6gC&...